Monday, August 9, 2010

Blog Anda – Kemana Hala Tujunya

Firman Allah dalam al-Quran (Qs 51:56) yang bermaksud: “Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya beribadat kepadaku.”

Pada suatu ketika sedang Rasulullah s.a.w mengembala kambing, tidak jauh darinya ada sekumpulan remaja sedang lepak, berborak dan ketawa. Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah s.a.w: “Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana?” Rasulullah dengan tegas menjawab: “Aku diciptakan bukan untuk itu.”

Sedar akan tujuan wujudnya sesuatu hal itu merupakan titik tolak kepada kesempurnaan kewujudan. Bila mana kita sedar akan tujuan kita diadakan di atas muka bumi ini, hala tuju kita akan lebih terarah kepada matlamat mencapai tujuan tersebut. Begitu juga dengan blog yang dibina, sekiranya blog anda ketiadaan hala tuju maka untuk blog anda bertahan lama adalah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan. Tanpa adanya hala tuju, pelawat blog anda pastinya tertanya-tanya apa yang akan mereka dapat dengan melayari blog anda.

Buatlah pilihan hala tuju blog anda, samaada ke arah dakwah, politik, perniagaan, sukan, hobi dan sebagainya. Dengan adanya hala tuju, anda akan dapati blog anda lebih terarah dan lebih mudah bagi anda untuk memuatkan sesuatu “artikel” atau “post”. Dalam keadaan mana sekalipun pastikan hala tuju blog anda merupakan sesuatu yang anda minat dan faham sedikit sebanyak. Sebagai contoh, jangan sekali-kali menulis berkenaan politik Malaysia sekiranya anda sendiri tidak memahami beza diantara DUN dan PARLIMEN.