Monday, August 9, 2010

Binalah Sekurang-kurangnya Satu Blog!

Firman Allah dalam al-Quran - Surah Al-Alaq (96:1-5) yang bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia yang telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran Qalam (perantaraan tulis baca). Dia yang mengajar manusia apa yang tidak mereka ketahui.”

Apa yang dapat diambil dari ayat di atas adalah:-

1. Dari kalimah iqra’ (bacalah), jelas menunjukkan tugas menuntut ilmu adalah merupakan satu tugas wajib bagi setiap umat islam.

2. Teknik belajar yang dianjurkan adalah melalui perantaraan Qalam (tulis baca). Qalam dalam hal ini besar kemungkinan merujuk kepada media penyaluran maklumat baik dari segi media tradisi mahupun media masa kini. Dalam erti kata lainnya disamping mendapatkan maklumat secara teus daripada media penyaluran maklumat, umat islam juga perlu menyalurkan kembali maklumat yang diterima bagi memastikan maklumat tersebut terus berkembang sesuai melalui perantaraan zaman.

Dalam era teknologi maklumat masa kini, janganlah kita membiarkan umat islam jauh tertinggal. Adalah menjadi kewajipan kepada setiap umat islam untuk belajar dan terlibat secara aktif dalam teknologi ini, bagi memastikan keunggulan islam dapat dipelihara. Melalui kewujudan laman-laman web, pemikiran seseorang individu bebas untuk disalurkan tanpa adanya penapisan. Disamping dakyah daripada mereka yang bencikan islam sehinggalah pemikiran bebas yang tidak disempadani dengan batas syariat telah menjadi sesuatu yang mudah dikongsi dengan hampir setiap pengguna internet tanpa mengira batas usia mahupun tahap aliran pemahaman.

Untuk mempelajari teknologi maklumat masa kini, sebagai umat islam kita perlu “terjun” ke asas dengan mendalami konsep “tulis-baca” yang ditegaskan dalam Surah Al-Alaq. Kita perlu membasahkan keringat untuk mendalami teknik penyaluran maklumat di dalam media maklumat masa kini. Kalau dahulunya kita lebih suka mendapatkan maklumat melalui laman-laman web, sudah tiba masanya untuk kita menyalurkan dan mengembangkan maklumat yang kita terima melalui laman kita sendiri.

Bagi menggemblengkan usaha, setiap umat islam perlu mempunyai tapak untuk bermula. Untuk memudahkan pemahaman adalah dicadangkan agar setiap dari kita bermula dengan blog. Binalah sekurang-kurangnya satu blog. Pelajarlah teknik untuk meletakkan “post” dan perkara-perkara asas yang lain. Insya-Allah melalui niat murni, kita akan dipermudahkan untuk mendalami cabang ilmu ini. Berilah nilai kepada konsep “tulis- baca” yang ditegaskan dalam surah Al-Alaq.